Kesuburan adalah anugerah yang perlu dihargai dan dipelihara. Banyak faktor boleh menjejaskan kesuburan seseorang,sama ada lelaki atau wanita. Untuk mengekal dan meningkatkan kesuburan, wanita perlu:-
- Mengawal berat badan. Jika dapat, kekalkan berat badan yang seimbang. Berat badan berlebihan bolehmenyebabkan masalah ovulasi (pengeluaran telur) dan kitaran haid mungkin terganggu atau terhenti terus jika terlalu kurus.
- Kurangkan pengambilan kafein. Ada kajian menunjukkan pengambilan kafein melebihi 500 miligram sehari boleh melewatkan kehamilan. Biasanya secawan kopi mengandungi antara 80 hingga 175 miligram kafein. Bagaimanapun, ia bergantung kepada kaedah penyediaan dan jenis kopi diambil. Bertukarlah kepada kopi tanpa kafein.
- Kurangkan pengambilan alkohol, atau lebih baik berhenti terus. Alkohol berlebihan akan menjejaskan peluang wanita untuk hamil kerana ia merencatkan proses ovulasi.
- Bersenam secara tetap dan teratur. Senaman bukan saja dapat membantu mengekalkan berat badan, tetapi turut menjadikan anda lebih sihat dan cergas. Ia juga akan menguatkan badan untuk melalui kehamilan tanpa masalah. Senaman juga boleh mengurangkan risiko mengalami masalah sembelit dan vena varikos (urat kaki menjadi kembang dan berbelit) yang biasa dihadapi wanita mengandung.
- Jalani pemeriksaan hormon melalui ujian darah. Ini adalah masalah biasa yang menyebabkan wanita sukar mengandung.
- Berhati-hati mengambil ubat. Kebanyakan ubat, termasuk pil tahan sakit, antibiotik, ubat tekanan darah tinggi dan anti kemurungan memberi kesan terhadap kesuburan anda. Sebaik-baiknya, ambil ubat apabila diarahkan saja.
- Buat pemeriksaan rahim. Masalah dalam rahim seperti endometriosis, fibroid atau sista ovari boleh menjejaskan peluang untuk mengandung. Endometriosis (lapisan tisu yang tumbuh di luar rahim) akan menyebabkan haid menjadi lebih banyak dan sakit. Kehadirannya juga meningkatkan risiko mengandung luar rahim.
Sumber : Sukar dapat anak kedua oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
No comments:
Post a Comment